
Malah bekas pengacara Nona dan Wanita Hari Ini di TV3 itu berbangga impiannya menjadi usahawan berjaya telah pun tercapai. Ibu kepada dua cahaya mata itu mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan setelah menyertai syarikat pemasaran, Revell.
Berasal dari Kluang, Johor, Radziah mempunyai latar belakang pendidikan dalam jurusan seni bina, perancangan dan ukur.
Sebaik tamat pengajian, Radziah bertugas sebagai pereka bentuk dalaman selama empat tahun sebelum menyertai stesen TV3.
Setelah empat tahun menimba pengalaman sebagai wartawan penyiaran di stesen tersebut, Radziah akhirnya mengambil keputusan meletakkan jawatan pada 1998.
``Selepas diperkenalkan kepada Revell, saya mula tertarik untuk menjalankan perniagaan jualan langsung,'' katanya.
Menurut wanita ini, sebagai pengacara yang dikenali ramai, dia banyak bergantung kepada kelebihan itu untuk menempa kejayaan. Berkat kesungguhan, keberanian, kesabaran serta komitmen yang tinggi, Radziah mula mengecap kejayaan setahun kemudian. Radziah yang kini menjalankan perniagaan tersebut sepenuh masa meraih pendapatan mencecah lima angka sebulan.
``Sebenarnya, tiada yang luar biasa mengenai diri saya melainkan rasa kagum dan percaya terhadap produk yang saya pasarkan,'' jelas wanita itu.
Menurutnya lagi, kejayaan tidak datang dengan mudah walaupun ia diraih dalam masa yang singkat. Seperti usahawan lain yang berjaya, formula kejayaannya adalah kegigihan.
Radziah mula mengecap kemanisan dalam perniagaannya apabila dianugerahkan pemenang program kereta percuma pada Jun 2001. Lima bulan selepas itu, dia dilantik menjadi Pengarah Kumpulan.
Hasil kecemerlangan yang berterusan, Radziah dilantik sebagai Pengarah Kumpulan Kanan Diamond beberapa bulan kemudian.
Di bawah pengurusannya, wanita berusia 28 tahun itu berjaya melahirkan hampir 1,000 usahawan di seluruh tanah air.
``Saya juga sering mendampingi masyarakat baik di bandar atau kampung dan cuba menaikkan taraf ekonomi wanita Melayu hari ini,'' katanya.
Berkat kesungguhannya itu, Radziah sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya melahirkan hampir 400 suri rumah yang mampu mengaut pendapatan empat angka.
Menurut Radziah, usia bukanlah penghalang untuk sesiapa sahaja menempa kejayaan sebaris pemimpin negara yang lain.
``Berpeganglah kepada pepatah... ibarat sebiji buah, jika dipetik muda, kelatlah ia. Jika dipetik tua, akan manis tentunya. Tapi, jika tidak dipetik langsung, busuklah ia,'' katanya penuh makna.
Usahawan muda itu sering diundang menjayakan segmen tip pengguna dalam rancangan Wanita Hari Ini di TV3.
Jelas beliau, sebagai wanita hari ini, dia ingin berkongsi pengetahuan yang ada dan mewariskan kepada wanita hari esok. Sebagai penyuntik semangat kepada wanita muda, rahsia kejayaan Radziah turut dimuatkan dalam cakera padat video.
No comments:
Post a Comment